Panduan memudahkan kelahiran
Dulu sebelum berkahwin, saya terasa seriau apabila golongan ibu-ibu bercerita mengenai pengalaman yang mereka lalui ketika bersalin. Pada ketika itu, memang saya kurang faham mengenai apa yang mereka bincangkan. Tapi rasa itu masih tebal sehinggalah saya sendiri telah melalui detik indah ketika melahirkan puteri sulung pada tahun 2012, Sebenarnya tidaklah teruk sangat apa yang saya fikirkan. Mesti anda juga merasai seperti saya dulu kan ;) *Winkk..winkk
Jom ikuti sedikit panduan untuk memudahkan kelahiran bagi bakal-bakal ibu yang mungkin sedang menghitung hari untuk melahirkan tu.
1. Senaman kegel
Senaman ini baik untuk menjadikan otot vagina lebih anjal. Dengan yang demikian, otot berkenaan boleh mengembang dengan lebih baik apabila tiba proses kelahiran. Selain itu, senaman ini juga bagus untuk kekuatan otot rahim.
Nota: Antara teknik senaman kegel ialah anda boleh menahan air kencing separuh jalan dan kira sampai 10 dan kemudian dilepaskan bakinya.
2. Teknik pernafasan
Teknik pernafasan amat penting untuk dikuasai kerana ia dapat membantu ketika anda menahan sakit dan sewaktu proses meneran. Di minggu-minggu terakhir, anda sangat digalakkan melakukan senaman secara tetap seperti berjalan-jalan selama 30 minit selapas makan malam sambil berlatih melakukan teknik pernafasan yang bakal anda aplikasikan ketika dalam proses kelahiran.
Nota: Ketika anda meneran jangan buka mulut dan mengeluarkan bunyi atau bernafas melalui mulut. Kerana ianya membuatkan anda lebih cepat letih dan kehilangan tenaga.
3. Urutan perineal
Untuk mengurangkan risiko koyak ketika meneran, anda digalakkan untuk melakukan urutan dibahagian perineum bermula dari minggu ke-34 kehamilan sehinggalah ke saat mahu melahirkan. Cara urutan, digalakkan untuk memulakan di antara bahagian dubur dan faraj dengan menggunakan minyak tertentu yang berasaskan sumber bahan semulajadi seperti minyak kelapa dara dan minyak zaitun. Pastikan jari anda benar-benar bersih sebelum melakukan urutan tersebut.
Nota: Elakkan menggunakan minyak bayi ataupun jeli petroleum. Dapatkan nasihat daripada doktor terlebih dahulu.
4. Keadaan yang selesa
Ketenangan fikiran dan kemantapan mental serta emosi sangat penting. Proses kelahiran akan berlangsung dengan lancar sekiranya anda berada dalam keadaan yang selesa. Cuba tenangkan diri sejak dari rumah lagi sebelum berangkat ke hospital.
Nota: Pastikan segala kelengkapan anda dan bayi sudah tersedia di dalam beg pakaian.
5. Rehat Secukupnya
Lazimnya, di akhir kehamilan wanita hamil lazimnya mengalami kesukaran untuk tidur. Pastikan jumlah jam tidur anda mencukupi.
Nota: Penting untuk kekal bertenag semasa melahirkan nanti.
6. Makan secukupnya
Apabila semakin hampir dengan tarikh jangkaan bersalin, pastikan anda makan secukupnya. Ini sangat penting bagi memastikan anda mempunyai tenaga untuk proses meneran.
Nota: Jika tidak mempunyai selera, banyakkan makan kurma untuk beri tenaga tambahan kepada tubuh.
7. Lakukan aktiviti ringan
Elakkan hanya berbaring di atas katil sahaja. Amalan sentiasa bergerak dengan berjalan-jalan dapat membantu anda ketika proses kelahiran. Malah, jangka masa proses kelahiran boleh menjadi pendek jika anda berdiri tegak. Keadaan sebegini berupaya membantu bayi masuk ke saluran peranakan dengan betul.
Nota: Berjalan sekitar rumah atau sekitar bilik bersalin sambil ditemani suami untuk memudahkan bayi "turun".
8. Baring mengiring ke kiri
Berbaring mengiring ke kiri adalah lebih baik daripada berbaring terlentang kerana posisi ini akan memberi sedikit tekanan kepada bayi untuk membantunya menolak "keluar" dengan cepat.
Nota: Amalan ini diyakini mampu mempercepatkan bukaan serviks.
9. Teman kuat semangat
Saat anda berdepan dengan segala macam tekanan untuk melahirkan, keberadaan suami di sisi pastinya dapat mengurangkan serba sedikit tekanan yang dialami. Namun, suami perlulah mempunyai semnagat yang kental agar dia mampu memberi sokongan ketika anda berhadapan dengan kesakitan untuk melahirkan bayi.
Nota: Selain suami, anda boleh meminta ibu atau ahli keluarga yang lain untuk menemani.
10. Berdoa
Sebagai seorang muslim, pohonlah kepada Allah swt untuk mempermudahkan segala urusan pelahiran ini.
Nota: Mohon maaf pada suami, ibu ayah dan keluarga mertua dan semua orang.
Selamat Bersalin
Selamat Berpantang
^_^