Peranan Suami Semasa Isteri Hamil
Ketika proses kehamilan, sokongan daripada suami tercinta amat penting. Suami pula janganlah tidak sensitif dengan situasi isteri yang sedang menyesuaikan diri dengan perubahan hormon yang berlaku dalam badannya. Mungkin bagi yang baru pertama kali hendak bergelar ayah, sedikit panik dengan perubahan tersebut tetapi dengan bertanya dan mencari maklumat sekurang-kurangnya ia dapat membantu.
Berikut antara perkara yang boleh dilakukan oleh suami untuk meringankan bebanan isteri yang sedang hamil.
1) Luangkan Masa Bersama Isteri
Kadangkala perhatian dan sentuhan daripada suami sudah cukup menenangkan emosi isteri yang serba tidak kena. Bulan-bulan pertama kehamilan memang cukup merimaskan bagi sesetengah bakal ibu. Dengan sentiasa berasa di sisi isteri, ia sudah cukup mengurangkan bebanan yang ditanggung.
2) Penuhi Keinginan Isteri
Kita sedia maklum, wanita di awal kehamilan biasanya mengidam makan bermacam-macam makanan. Suami janganlah menempelak keinginan isteri sebaiknya cuba penuhi keinginan tersebut. Pastikan juga isteri menjamah makanan yang berkhasiat.
3) Fahami Situasi Isteri
Wanita hamil perlu membawa bebanan perut yang semakin membesar. Justeru, pergerakan mereka menjadi perlahan daripada biasa. Jika keluar bersiar-siar dengan isteri, cuba fahami keadaan tersebut. Janganlah memarahi isteri kerana berjalan perlahan sebaliknya suami perlu mengikut rentak isteri yang berjalan perlahan. Jika isteri hendak ke mana-mana, pinjamkan diri anda seketika. Suami haruslah memahami pergerakan isteri agak terbatas dan elakkan isteri daripada memandu ke destinasi yang jauh. Tidak salah, sesekali suami jadi 'driver' kepada isteri.
4) Ringan Tulang
Apa kata suami belajar menjadi ringan tulang dengan kerja-kerja rumah. Apabila melihat kain baju belum berbasuh atau berlipat atau rumah agak bersepah, terus kemaskan ia tanpa perlu membebel atau bertanyakan isterik mengapa tidak mengemasnya.
5) Belajar Perubahan Isteri
Wanita hamil akan mengalami perubahan emosi yang sukar dijangka. Marah, merajuk atau terlalu sensitif akan mengiringi mereka sepanjang kehamilan. Suami perlulah bersedia dengan situasi ini.
6) Siapkan Hidangan Makan
Jika selama ini semua tugas menyiapkan hidangan makan dilakukan oleh isteri, apa salahnya ketika isteri sedang 'mabuk' mengandung, suami pula yang mengambil alih. Legalah sikit isteri yang sedang 'berperang' dengan ketidakselesaan itu.
7) Bantu Jaga Anak Lain
Jika isteri hamil anak kedua atau seterusnya, tentu sahaja perhatian kepada anak-anak lain akan berkurangan seketika ekoran alahan yang teruk. Justeru, suami ambillah kesempatan untuk melayani karenah anak. Sekurang-kurangnya anda akan bertambah cekap menguruskan keperluan anak.
8) Bawa Isteri Bersiar-siar
Sekiranya ada waktu, bawalah isteri keluar menghirup udara segar. Mungkin suasana yang berbeza daripada rumah dapat mengurangkan rasa tidak selesa yang sedang dialami.
9) Jangan Berkira
Kadangkala ada isteri yang mengandung suka dimanjakan oleh suami. Bukan mengada-ngada tetapi perubahan hormon yang mendorong perasaan tersebut. Apa salahnya suami melayani karenah isteri yang sedang hamilkan zuriat anda. Misalnya, buatkan isteri segelas susu sebelum tidur, suapkan makanan ke mulutnya dan sediakan ubat yang perlu dimakan. Tentu kasih sayang anda semakin erat.
10) Kongsi Maklumat Kehamilan
Kehamilan membawa perubahan kepada isteri, baik secara fizikal ataupun emosi.
Isteri yang dahulunya lincah dan segar, akan mula mudah penat, pening dan
muntah-muntah. Sikapnya juga semakin sensitif, mudah menangis dan marah
walaupun untuk perkara yang anda rasakan tidak perlu. Kepada lelaki, anda
jangan sekali-kali bingung dengan perubahan ini. Ini kerana ia merupakan
sesuatu yang normal dan kebanyakan wanita hamil akan melaluinya.
Walaupun berlaku perubahan pada isteri anda, itu tidak bermakna anda tidak boleh banyak membantu. Sebagai seorang suami yang memahami, carilah sebanyak mungkin info tentang perubahan fizikal dan emosi yang dialami oleh isteri. Selepas itu, cuba kongsi pengetahuan anda dengannya. Dia pasti teruja dengan apa yang anda ketahui. Perhatikan juga perkembangan kehamilan isteri anda.
Walaupun berlaku perubahan pada isteri anda, itu tidak bermakna anda tidak boleh banyak membantu. Sebagai seorang suami yang memahami, carilah sebanyak mungkin info tentang perubahan fizikal dan emosi yang dialami oleh isteri. Selepas itu, cuba kongsi pengetahuan anda dengannya. Dia pasti teruja dengan apa yang anda ketahui. Perhatikan juga perkembangan kehamilan isteri anda.
boleh share?
ReplyDeletesilakan sis ..untuk perkongsian bersama ^_^
Delete