MENANGIS atau meragam sudah menjadi sifat semula jadi bayi
yang normal. Kita tidak boleh mengharapkan anak yang sentiasa ceria dan tidak
membuatkan ibu bapa pening menangani pelbagai kerenah mereka.
Menangis juga satu cara bayi berkomunikasi dengan penjaga
kerana mereka masih tidak pandai meluahkan perasaan dengan kata-kata. Menjaga bayi menuntut kesabaran yang tinggi kerana jika
tidak, ibu bapa boleh hilang sabar dan ada yang bagaikan hilang kewarasan diri
sehingga sanggup mendera anak sendiri.
Dengan pelbagai tekanan dan tanggungjawab yang perlu
dipenuhi setiap hari, kerenah anak yang menangis atau meragam apatah lagi pada
malam hari memang boleh menyebabkan ibu bapa hilang sabar.
Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab, kita tidak
sepatutnya melepaskan kemarahan atau segala beban seharian terhadap anak kecil
yang tidak berdosa dan mengerti apa-apa. Sebaliknya kita harus belajar untuk
menjadi ibu bapa terbaik sekali gus memahami keadaan si kecil yang sering
meragam itu.
Buat ibu bapa dan penjaga, teknik menangani bayi yang
meragam dan sering menangis ini boleh dijadikan panduan:
1. Bersikap tenang
Perkara terbaik yang boleh dilakukan ibu bapa apabila anak
meragam atau menangis dengan nyaring ialah bersikap tenang dan bukannya
memarahi anak dengan suara yang tinggi. Apabila tekanan dalam diri ibu bapa meningkat, anak juga
akan menjadi bertambah tertekan, menyebabkan usaha menenangkan bayi tidak akan
tercapai.
2. Periksa lampin bayi
Bayi menangis kerana pelbagai sebab, antaranya mereka tidak
selesa apabila lampin sudah terlalu penuh atau mereka baru saja membuang air
besar. Jadi, apabila anak menangis, cuba periksa lampin untuk
pastikan masalah anak mena–ngis bukan berpunca daripada lampin. Sekiranya basah
lencun atau kotor, salin lampin supaya bayi lebih selesa.
3. Periksa suhu badan bayi
Kadangkala bayi menangis apabila dia berasa terlalu sejuk
atau terlalu panas. Mungkin ibu bapa boleh memegang tangan atau kaki anak untuk
memastikannya.
Sekiranya sejuk, pakaikan baju yang menutup tubuh dan lebih
tebal. Namun sekiranya panas, cuba gunakan termometer bagi memeriksa suhu bayi.
4. Kembung perut
Bayi selalu mengalami masalah kembung perut. Oleh itu, ibu
bapa perlu memeriksa dengan menepuk lembut dengan jari bagi memastikan anak
mereka mengalami masalah kembung perut. Sekiranya benar, sapukan minyak angin
pada perut bayi untuk melegakan perutnya.
5. Beri susu atau makanan bayi
Sekiranya semua perkara di atas tiada pada bayi, kemungkinan
besar dia lapar.
Tawarkan minuman atau makanan pada bayi. Ibu bapa perlu
mempunyai jadual dan mengingati masa makan atau minum anak mereka.
Jangan ambil mudah kerana selain senang meragam akibat
lapar, tumbesaran bayi juga boleh terjejas jika tidak mendapat zat mencukupi.
6. Bayi mengantuk
Bayi juga akan meragam dan menangis jika mengantuk.
Selalunya mereka hanya
mahu didodoi oleh ibu atau bapa dan sebaik dipeluk, mereka
menjadi tenang dan tidur dengan mudah.
Pelukan daripada ibu bapa bukan saja dapat menenangkan bayi,
malah ia mampu menyalurkan kasih sayang yang sangat diperlukan oleh bayi untuk
membesar dengan sempurna.
7. Mahu bermanja
Adakalanya bayi hanya mahu didukung, dipeluk, dilayan atau
diberi perhatian penuh oleh ibunya. Bayi sememangnya manja dan mahu dibelai
ibu.
Banyak kajian menunjukkan belaian daripada ibu bapa dapat
meningkatkan sistem pertahanan bayi, membantu menstabilkan emosi, membantu
selera bayi dan menjadikan anak mereka lebih ceria.
8. Alih perhatian bayi
Apabila anak menangis atau meragam tanpa dikenal pasti
puncanya, antara kaedah yang boleh digunakan ialah mengalihkan perhatiannya.
Ada kemungkinan bayi itu bosan justeru, ibu bapa boleh
menghiburkan bayi mereka. Lakukan perkara yang boleh membuat bayi ketawa
seperti membuat aksi melucukan atau membawanya keluar bersiar-siar melihat
sekeliling selain berbual-bual dengan bayi supaya mereka rasa disayangi.
9. Ubah cara dukung
Sesetengah bayi mempunyai posisi dukung yang digemarinya.
Jika anak sukakan posisi tegak di bahu, jangan baringkan dia ketika
mendukungnya kerana bayi pasti akan menangis.
Apabila menegak, bayi boleh melihat keadaan sekelilingnya
dengan lebih baik seolah-olah berjalan dan ia penting bagi proses
pembelajarannya.
10. Hiburkan bayi
Biarpun nyanyian anda sebenarnya sumbang namun bagi bayi
anda, andalah penyanyi terhebat. Oleh itu, gunakan kesempatan ini untuk menyanyikan
pelbagai lagu lembut kepadanya terutama lagu yang mempunyai unsur pendidikan
kerana anak akan mengikut nyanyian sambil belajar dan pada masa sama, dia akan
tenang dan berhenti menangis.
11. Menari bersama bayi
Ini antara teknik yang boleh dilakukan sekiranya ia dapat
membuatkan anak anda
tersenyum serta membuatkannya berhenti menangis. Ajak anak
menari dengan gaya yang disukai kanak-kanak seperti tepuk tangan, supaya mereka
terhibur tetapi pada masa sama, berasa rapat dengan anda.
12. Tukar pakaian bayi
Ada fabrik yang kasar pada kulit bayi hingga menimbulkan
rasa tidak selesa dan
akhirnya bayi menangis. Oleh itu, tukar pakaiannya kepada
yang lebih selesa dan pastikan pakaian bayi diperbuat daripada fabrik lembut
dan tidak panas seperti kain kapas.
13. Mandikan bayi
Bayi yang meragam sepanjang hari mungkin berasa tidak selesa
atau ruam akibat lampin. Mandikan bayi dengan sabun yang mengeluarkan bau
menenangkan dan sapukan tubuhnya dengan losen atau minyak mineral yang
menghindarkan masalah ruam.
14. Urut bayi
Mengurut antara cara untuk menenangkan bayi. Sentuhan kulit
ke kulit bukan saja menenangkan bayi tetapi hubungan ibu bapa dengan anak juga
menjadi semakin rapat.
15. Kurangkan rangsangan sekeliling
Terlalu banyak rangsangan di sekeliling boleh membuatkan bayi
terganggu, seterusnya menangis dan meragam. Bagi menenangkan bayi, cuba
malapkan cahaya lampu, asingkan permainan yang banyak dan mengurangkan bunyi
bising.
16. Bedung bayi
Bagi bayi kecil, mereka berasa tenang dan selamat apabila
dibedung dengan kain dan dipeluk ibu bapa. Ini kerana bagi si kecil ini,
keadaan yang terbuka menakutkan mereka. Oleh itu, sebaik-baiknya bedung bayi
kecil, bukan saja mereka akan berasa hangat, ia juga membantu bayi tidur dengan
lebih nyenyak.
17. Gunakan bunyi menenangkan
Ada sesetengah bunyi mampu menenangkan bayi apabila ia
berbunyi terus-terusan contohnya bunyi kipas berputar atau bunyi kerincing
angin yang digantung di tempat berangin.
18. Beredar dan menenangkan diri
Sekiranya semua cara yang dilakukan tidak mampu menenangkan
bayi dan anda mula hilang sabar, tinggalkan sekejap bayi anda di tempat yang
selamat dan tenangkan diri terlebih dulu.
Berfikir positif dan memahami bayi anda tidak melakukannya
dengan sengaja kerana dia tidak memahami apa-apa dan masih kecil.
19. Bawa bayi bertemu doktor
Anda juga boleh membawa bayi bertemu doktor kanak-kanak bagi
membuat pemeriksaan untuk memastikan tangisan bayi bukan berpunca daripada
masalah kesihatan yang serius.
Sumber : harian metro
No comments:
Post a Comment